Make your own free website on Tripod.com
 
 
 
 


Apa perlu dibuat?

Pendahuluan 

Anda sesat di hutan, bila agaknya anda menyedari anda telah sesat?  Jangan panik. Berehat sebentar dan tenangkan fikiran, jangan risau mereka yang arif tentang hutan pun pernah sesat, bahkan Orang Asli yang hidup di sekitaran hutan pun mungkin boleh sesat. 

Jika anda tidak dapat mengingati atau mencari jalan keluar maka benarlah anda telah sesat. Apa yang anda perlu buat? Sabar, yang pentingnya anda hendaklah berikhtiar untuk mengelakkan diri dari ancaman persekitaran yang mungkin berbahaya dengan kemudahan yang terhad. Peluang untuk anda terus hidup banyak bergantung kepada persediaan diri, kekuatan dan keyakinan diri serta kebijaksanaan anda bertindak. Ikutilah petua berikut jika difikirkan sesuai dengan situasi yang anda hadapi. Ingatlah keselamatan anda banyak bergantung kepada kebijaksanaan anda bertindak. 

Bermalam di hutan 

Jika anda fikirkan anda patut bermalam di hutan pemilihan tapak yang sesuai adalah penting. Pastikan tapak yang dipilih tidak mempunyai kesan kehadiran binatang buas seperti kesan tapak kaki, najis ataupun kawasan sumber makanannya. Juga pastikan kawasan tersebut terlindung dari tiupan angin yang kuat, tanah runtuh dan pokok mati. Seboleh-bolehnya carilah tempat yang berdekatan dengan sumber air. 

Bermalam di dalam gua adalah pilihan yang baik tetapi pastikan ianya benar-benar selamat. Jangan bermalam di kawasan berbatu longgar, laluan angin dan binatang buas, sarang binatang atau serangga bebisa dan tempat yang licin. 

Pilihan yang lain adalah dengan membina sendiri tempat berteduh sementara untuk berlindung sekurang-kurangnya dari hujan, dahan kayu jatuh, binatang buas dan haiwan berbisa. Jika dikhuatiri dari ancaman binatang buas anda bolehlah mengambil refuge di atas pokok. Caranya dengan duduk di atas dahan yang teguh dan mengikatkan diri anda kepada pokok tersebut bagi menggelakkan anda dari terjatuh. Ikatan hendaklah dibuat pada bahagian dada dan belakang melalui ketiak. Posisi dada hendaklah menghala ke arah pokok seolah-olah seperti hendak memeluk pokok. Pastikan anda duduk dalam keadaan selesa. 
  

Keputusan bekalan air. 

Air amat penting untuk kehidupan, manusia boleh hidup lebih lima hari tanpa makanan tetapi tidak air. Carilah sumber air yang bersih dan selamat seperti sungai, tasik ataupun mata air. Dalam situasi di mana punca air tersebut tidak dapat di cari maka sumber alternatif perlulah diushakan. Banyak punca air yang lain yang boleh ditemui tetapi pilihlah yang benar-benar selamat. 

Kebanyakan akar kayu (lianas) mempunyai kandungan air yang banyak. Air dari akar kayu yang boleh di minum biasanya tiada warna, cair dan tidak berbau. Potong akar tersebut menyerong dan pisahkannya terus dari bahagian akar yang lain, air yang menitis dari akar yang dipotong itu bolehlah di minum. Antara jenis akar yang boleh di minum ialah mempelas dan lundang. Selain dari akar, rotan juga mempunyai kandungan air yang banyak. 

Buluh juga menyimpan air dalam ruasnya, potonglah bahagian pangkal pokok di mana bahagian ini banyak mengandungi air. Tetapi awas miang buluh dari memasuki air. 

Periuk kera juga ada menyimpan air di dalam periuknya, pilih periuk yang belum terbuka kerana airnya lebih bersih. Lumut juga boleh diperah dan dikumpul airnya untuk diminum. Dalam keadaan darurat mana-mana air yang tidak beracun bolehlah di minum termasuklah peluh. 
  

Makan atau tidak 

Jangan risau, hutan mumpunyai banyak tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan tetapi pilihlah yang selamat dimakan, dari akar hinggalah ke pucuk tumbuh-tumbuh-tumbuhan sesetengahnya boleh dimakan. Begitu juga dengan haiwan, dalam keadaan darurat semuanya boleh dimakan kecualilah yang beracum. 

Jika anda musim buah-buahan hutan, banyak jenis buah yang boleh dimakan. Untuk memastikan buah-buah tersebut selamat dimakan, cuba cari kesan-kesan samada buah tersebut telah dimakan oleh haiwan lain, jika ada mungkin buah itu selamat dimakan. Cara yang paling mudah untuk memastikan  sama ada buah atau tumbuh-tumbuh-tumbuhan itu selamat dimakan adalah dengan tiga langkah berikut iaitu hidu, sapu dan kunyah. Hidu sebahagian dari tumbuh-tumbuhan tersebut jika berbau keras atau busuk elakkan dari memakannya kerana ianya mungkin beracun. Sekiranya ianya tidak berbau keras atau busuk, ambil sedikit air atau getah dari bahagian tumbuh-tumbuhan tersebut yang dihancurkan dan gosok pada bahagian lengan, tunggu selama 10 - 15 minit. Jika terasa panas atau gatal-gatal jauhi tumbuh-tumbuhan ini kerana dikhuatiri mengandungi racun dan berbahaya jika dimakan.  Kunyah tumbuh-tumbuhan tersebut selama 5 - 10 minit, jika terasa gatal atau panas dalam mulut ataupun berasa loya, tumbuh-tumbuhan tersebut hendaklah diluahkan kerana kemungkinan beracun.  

Anda juga boleh memakan cendawan hutan. Kebanyakan cendawan pada pokok boleh dimakan dan tidak berbahaya. Cendawan yang tumbuh di tanah juga boleh dimakan tetapi ada antaranya sangat berbahaya dan beracun. Elakkan cendawan yang berwarna garang, berkilat, rapuh dan keras kerana kebiasaannya beracun. 

Selain dari tumbuh-tumbuhan haiwan dan serangga juga boleh dimakan. Serangga seperti anai-anai, semut, belalang, cengkerik dan ulat kayu boleh dimakan tetapi elakkan memakan serangga berbisa seperti lebah, tebuan dan lipan.  

Begitu juga dengan haiwan mamalia seperti kancil, rusa dan kijang boleh dimakan (ikuti siri ketiga tentang cara-cara membina jerat). Burung-burung juga selamat dimakan, begitu juga dengan telurnya. Selain dari telur burung telur reptelia yang lain boleh dimakan tetapi elakkan telur ular dan buaya. Siput, kerang, kepah dan muloska yang lain juga boleh dimakan tetapi sebaik-baiknya dimasak terlebih dahulu dan jangan makan bahagian najisnya. 
  

Penutup 

Ingatlah empat prinsip asas bagi anda untuk meneruskan hidup di dalam hutan adalah keazaman dan keyakinan diri, ketabahan fizikal dan mental, toleransi dan kepimpinan serta keselamatan. Kelangsungan hidup anda di dalam hutan banyak bergantung kepada kebijaksanaan anda bertindak. 

Petua yang dikemukakan di sini hanyalah asas untuk anda. Ikuti siri kedua bagaimana mencari jalan keluar. Sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan. 
 

 | Kembali |  | Siri1 |  | Siri 2 |  | Siri 3 |