Berita Harian
Rabu 13 Januari 1999  25 Ramadan 1419

Pokok Bintangor penawar Aids

KUALA LUMPUR, Selasa - Penyelidikan makmal Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat (NCI) terhadap pokok Bintangor atau nama saintifiknya Calophyllum Lanigerum, berjaya menghasilkan penawar mengubati HIV/Aids.

 Berikutan itu, sebuah syarikat Amerika Syarikat, dengan kerjasama kerajaan Sarawak, dijangka membuat permohonan kepada Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA) Amerika bagi memasarkan ubat baru itu.

 Ujian terhadap ekstrak Calophyllum Lanigerum itu kini pada peringkat praklinikal dan dijangka menjadi satu ubat tradisional dalam merawat HIV/Aids.

 Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, berkata penemuan itu unik kerana pokok berkenaan hanya boleh didapati di Sarawak, sekali gus membuktikan Malaysia sememangnya kaya dengan kepelbagaian biologi.

 "Syarikat berkenaan dan kerajaan negeri Sarawak dijangka memegang paten penemuan ubatan baru itu," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangan perjanjian persefahaman antara Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad (KSM) dan MMM Networking Sdn Bhd, di sini hari ini.

 Menurut Chua, ubat itu diambil daripada ekstrak lateks calophyllum lanigerum dengan penyelidikannya dilaksanakan Institut Barah Kebangsaan Amerika (NCI) dengan kerjasama institusi pengajian tinggi tempatan.

 Pada 1987, seorang penyelidik tumbuhan dari Universiti of Illinios-Chicago, D D Soejarto, mendapati getah kuning pada pokok Bintangor mengandungi sejenis kompaun yang boleh menghentikan pembesaran virus Aids.

 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) juga terbabit sama dalam menjalankan kajian itu dan ia menanam pokok itu bagi tujuan kajian. Pokok Bintangor yang ditanam di Unimas kini sudah membesar dan berusia dua tahun.

 NCI dalam ujiannya mendapati lima jenis pokok, termasuk dua spesis Bintangor iaitu 'Tesymanii' dan 'Leanigerum' berpotensi untuk dimajukan sebagai bahan mengubati Aids dan kanser.

 Pada Jun 1993, kerajaan negeri Sarawak menguatkuasakan larangan menebang, mengambil bahagian tertentu dan pengeksportan kayu Bintangor, bagi melindungi pokok berkenaan.

 

Berita Harian  |  Kembali  ]