Katak : makan nyamuk 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
4 Julai, 1998

  

RM1.7b pemuliharaan hutan

KUALA LUMPUR 4 Julai - Semua kerajaan negeri akan diberi peruntukan melalui wang levi berjumlah RM1.7 bilion bagi menjamin proses penanaman semula dan pemuliharaan hutan dapat diteruskan. 

Pemangku Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan demikian berkata, kerajaan-kerajaan negeri diminta mematuhi kaedah dan tatacara pengurusan hutan melalui peruntukan wang levi itu. 

Menurutnya, adalah penting, dasar itu diteruskan supaya kawasan hutan di Malaysia mampu kekal mampan untuk jangka masa yang panjang. 

''Saya suka mengingatkan kerajaan negeri bahawa wang ini adalah khusus untuk penanaman semula dan rawatan hutan dan oleh demikian pengurusan kewangannya mestilah ke arah tersebut tidak boleh dikeluarkan dari kaedah yang ditetapkan. 

''Menteri Besar dan Ketua menteri telah bersetuju dan akan mematuhi kaedah yang ditetapkan bagi menjamin proses penjagaan hutan di negeri masing-masing berada pada landasan yang betul,'' tegasnya. 

Anwar berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan Majlis Perhutanan Negara ke 13 di sini hari ini. 

Turut hadir pada persidangan itu ialah Menteri-Menteri Besar, Ketua-ketua Menteri dan wakil kerajaan dari seluruh negeri. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, komitmen kerajaan dalam usaha mengurus, mengekal dan memulihara hutan menjelang tahun 2000 adalah jelas apabila peruntukan yang besar telah dikumpulkan. 

''Sebahagian besar daripada wang itu telah dikumpulkan melalui levi, jadi kerajaan telah menekankan pentingnya penggunaan wang tersebut mengikut kaedah dan tatacara yang ditetapkan supaya pengurusan perhutanan dan penanaman semula hutan dapat diteruskan. 

''Kerajaan negeri buat masa ini telah mempunyai tabung sendiri untuk tujuan merawat dan pemuliharaan hutan tetapi kerajaan merasakan ia perlu ditambah '' tegasnya. 

Tambah beliau lagi, cadangan kerajaan mewujudkan Majlis Persijilan Kayu Nasional (MPKN) dengan tujuan untuk memastikan kaedah persijilan kayu di negara ini memenuhi keperluan pasaran antarabangsa yang amat sensitif kepada alam sekitar dan Majlis Perkayuan Negara (MPN) telah setuju dengan cadangan itu. 

Dalam perkembangan yang sama Anwar turut menjelaskan, kerajaan telah mengarahkan kerajaan negeri supaya menutup kilang kayu lapis/venir yang tidak beroperasi melebihi dua tahun. 

''Adalah tidak sesuai kilang tersebut dibiarkan kerana kawasan pembalakan yang kian kecil melainkan di beberapa negeri yang masih memerlukannya,'' ujarnya. 

Menurut Anwar lagi, kerajaan Malaysia telah menjelaskan pendiriannya ke atas kaedah perundangan antarabangsa mengenai hutan sedunia di sidang khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

''Kerajaan mendukung hasrat untuk menetapkan satu kaedah pengurusan mapan yang tidak terhad kepada hutan tropika tetapi kepada semua jenis hutan di dunia, malangnya pendirian itu tidak dipersetujui oleh negara-negara Barat. 

''Ini membuktikan negara Barat tidak konsisten dan hanya mahu pengurusan hutan diurus oleh negara sedang membangun dan berkembang tetapi bukan Barat,'' jelasnya. 

Menurut Anwar, oleh demikian kerajaan ingin memberi peringatan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini dan negara luar yang juga berbicara panjang soal pengurusan hutan, supaya melihat kaedah ini secara adil. 

'' Malaysia adalah antara negara yang tegas dan keras mempertahankan pengawasan serta penjagaan hutan secara mapan tetapi tidak dapat muafakat dan ditentang negara-negara maju di dunia,'' katanya. 

Oleh: MAZLIN ZANI 
 

7 Mei, 1998
  

Hutan simpan: Pakar bercanggah pendapat

SEMENYIH 7 Mei - Pakar-pakar hidrologi dan hidrogeologi yang membuat kajian di Hutan Simpan Sungai Lalang di sini hari ini bercanggah pendapat tentang keperluan kawasan hutan simpan dan pokok bagi membantu meningkatkan air di kawasan empangan. 

 Pegawai Penyelidik Kanan Hidrologi Alam Sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Zulkifli Yusop yang bercakap bagi pihak kerajaan negeri Selangor berkata, penebangan pokok di kawasan tadahan akan membantu meningkatkan jumlah air ke dalam empangan. 

Bagaimanapun pendapat itu disangkal oleh pakar hidrogeologi Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohamad Ali Hasan dengan menegaskan kaedah tersebut boleh menjejaskan sistem ekologi kawasan tadahan untuk jangka masa panjang. 

Menurut Dr. Zulkifli, pembalakan secara terpilih di kawasan tadahan boleh membantu meningkatkan paras air dalam empangan kerana jumlah air yang diserap oleh pokok akan berkurangan. 

''Pokok menggunakan air yang banyak dalam kitaran hidupnya iaitu sebatang pokok memerlukan 1,500 mililiter air setahun dan ia secara tidak langsung akan mengurangkan aliran air masuk ke empangan,'' jelasnya. 

 Beliau berkata demikian pada sesi penerangan dalam lawatan ke kawasan hutan simpan itu. 

Lawatan yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian, Perikanan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar itu turut disertai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan pakar dari agensi kerajaan. 

Bagaimanapun kata Dr. Zulkifli, penebangan pokok-pokok tersebut perlu dilakukan secara terancang tanpa merosakkan permukaan tanah di kawasan terbabit kerana sebarang kerosakan akan menjejaskan aliran air. 

''Kaedah terbaik untuk menjalankan pembalakan secara terpilih di kawasan ini ialah dengan menggunakan kaedah 'helicopter logging' dengan tidak melibatkan pembinaan jalan untuk mengangkut balak,'' jelasnya 

Sementara itu, Dr. Mohamad Ali pula berpendapat, pokok-pokok di kawasan tadahan sepatutnya tidak diusik bagi mengekalkan sumber air untuk jangka panjang. 

''Secara teorinya, memang pendapat Dr. Zulkifli ada kebenaran untuk tempoh yang singkat tetapi bagaimana pula dengan kesan terhadap sumber air untuk jangka panjang?'' ujarnya. 

Malah beliau berpendapat, zon penampan perlu diwujudkan berhampiran kawasan tadahan air sebagai penyokong kepada proses sistem ekologi di kawasan itu bagi mengekalkan sumber air untuk tempoh yang lebih lama. 

Beliau berkata, pokok membantu proses pembentukan awan serta menutup muka bumi bagi mengurangkan proses penyejatan yang akan menyebabkan kehilangan air dari muka bumi. 

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor tetap mempertahankan dakwaan kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang di sini, tidak menjejaskan aliran air di kawasan tadahan berdekatan Empangan Semenyih. 

Abdul Fatah mendakwa, kegiatan pembalakan di kawasan itu dijalankan secara sistematik dan teratur serta jauh daripada aliran air yang menghala ke empangan. 

Malah menurut beliau, kemerosotan paras air di empangan tersebut tidak ada kaitan dengan kegiatan pembalakan atau aktiviti perhutanan lain di kawasan hutan simpan itu. 

Katanya, berdasarkan lawatan tersebut dan penerangan yang diberikan pihak Jabatan Hutan Negeri Selangor, tiada sebarang aktiviti pembalakan secara menyeluruh (jungle clearing) dijalankan di kawasan itu. 

 
Hakcipta terpelihara
Zul Infoweb 1998©

| Terkini |  | Galeri |  | Berita |  | Aktiviti |  | Artikel |
| Hot Links |  | Arkib |  | Penulis |  | Home |
| E-mail |  | Buku Tetamu |